Monday, February 23, 2015

Temuramah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS)


Sesi Temuramah bersama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS)

Tajuk : Cara Mendapatkan Pengesahan Logo Halal Yang Diiktiraf.
Tarikh : 18 Februari 2015
Masa : 3.00pm
Tempat : Pejabat Agama Islam Bahagian Bintulu, Bangunan Pejabat Agama Islam dan Mahkamah Syariah, Anjung Kiri, Jalan Tanjung Kidurong, 97000 Bintulu Sarawak. 



Nama : Ustaz Khalidi Bin Haji Mohamad Idris
Umur : 30 Tahun
Asal : Sibu
Jawatan : Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam/ Pegawai Penguatkuasa Halal

Pengenalan

Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) bertanggungjawab bagi pihak Majlis Islam Sarawak untuk mengeluarkan Sijil Pengesahan dan Logo Halal kepada setiap pemohon / pengusaha yang memenuhi keperluan yang ditetapkan. Antara kategori pemohon / pengusaha ialah: 
  1. Produk Makanan dan Barang Gunaan Islam. 
  2. Premis Makanan dan Minuman.
  3. Rumah Sembelihan.
  4. Premis Jualan Produk Halal
3 Aspek Utama yang dinilai bagi proses pensijilan halal ialah:

Antara Syarat-Syarat Permohonan 
  1. Syarikat hendaklah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
  2. Mempunyai lesen operasi yang masih sah daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti BDA bagi Bintulu dan surat akuan daripada Agensi Kerajaan.
  3.  Operasi sepenuhnya terlebih dahulu sebelum permohonana dibuat.
  4. Mengeluarkan produk halal sahaja serta mematuhi standard halal yang telah ditetapkan.
  5.  Memastikan sumber ramuan adalah halal dan memilih pembekal barang halal yang diiktiraf sahaja.
  6. Memohon semua jenis produk yang dikeluarkan di premis berkenaan.
  7. Mempunyai sekurang-kurangnya 2 orang pekerja islam di bahagian pengeluaran.

Prosedur Memohon Sijil Halal

     1   Syarikat Telah Beroperasi
Prosedur utama yang mesti dilakukan semasa permohonan bagi mendapatkan sijil dan logo halal ialah sesebuah syarikat atau kedai mestilah sudah beropersi terlebih dahulu. Situasi ini akan memudahkan pihak JAIS untuk melakukan pemeriksaan dan pemantauan dari aspek halal, kebersihan dan etika pekerja.

     2.   Permohonan
Seterusnya membuat permohonan secara online sahaja. Hal ini kerana sebarang pemohonan bagi mendapatkan Sijil Pengesahan dan Logo Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hanya boleh dilakukan dengan menggunakan Laman Web www.halaljakim.gov.my. sahaja. Hal ini kerana borang permohonan secara manual tidak lagi disediakan.

      3.   Pembayaran
Selain itu, pembayaran boleh dijelaskan selepas tempoh 2 minggu permohonan yang lengkap diisi dengan sempurna menggunakan borang online MYe-HALAL. Tambahan juga jumlah pembayaran bagi setiap syarikat adalah berbeza mengikut kategori dan nilai jualan tahunan. Sebagai contoh kadar pembayaran bagi premis makanan atau premis jualan produk adalah berjumlah RM200 bagi setiap unit/cawangan. Antara contoh pembayaran lain, ia dapat dilihat seperti dibawah: 



       4.  Pemeriksaan Premis
Seterusnya pemeriksaan premis akan dilakukan oleh pihak JAIS sebelum sijil halal tersebut dikeluarkan. Selepas itu, perbincangan dan penilaian panel di putrajaya dilakukan bagi mendapatkan keputusan permohonan . Di samping itu, tempoh siap bagi mendapatkan sijil pengesahan dan logo halal ialah selepas 60 hari bekerja dan tidak termasuk cuti umum selepas pembayaran dilakukan. Malahan tempoh penggunaan bagi satu sijil halal yang dikeluarkan oleh pihak JAKIM adalah hanya untuk  2 tahun sahaja. Selepas itu, ia haruslah dimohon semula.

Malahan pemeriksaan mengejut akan dilakukan oleh pihak JAIS terhadap setiap premis yang memohon sijil halal tanpa mengira masa dan tempat operasi. Dimana mereka akan melakukan pemeriksaan sekurang-kurangnya 4 kali dalam setahun. Hal ini bertujuan untuk memantau dan meneliti aspek halal, kebersihan premis dan etika pekerja terus dikekalkan selamanya. 

     5. Keputusan Permohonan
Keputusan permohonan dikeluarkan selepas Mesyuarat Panel Halal samada ia LULUS atau GAGAL. Malah keputusan permohonan bergantung kepada pematuhan syarat dan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh JAIS dan JAKIM. Konklusinya, untuk sebarang maklumat tambahan juga boleh dirujuk di laman web berikut www.jais.sarawak.gov.my.

Rajah Proses Permohonan

Logo Halal yang diiktiraf



Logo halal bermaksud logo yang dikeluarkan oleh JAKIM/ JAIN/ MAIN dan mengandungi:
  •  Bintang berbucu lapan di tengah-tengah bulatan.
  •   Perkataan Arab – “حلآل” di tengah bintang.
  • Diikuti tulisan rumi “HALAL”.
  • Bulatan logo tertulis perkataan “Malaysia” dalam tulisan Rumi dan ماليزيا   dalam perkataan Arab.
  • Dua bintang kecil berbucu lima diletakkan bagi memisahkan tulisan rumi dan perkataan Arab tersebut.

Rumusan

Permohonan sijil dan logo halal adalah amat penting bagi sesebuah operasi terutamanya bagi indusrti makanan dan minuman. Ini kerana ia akan memberi kepercayaan kepada pengguna khususnya orang islam untuk membeli sesuatu produk atau barangan halal yang telah diiktiraf oleh pihak JAKIM. Justeru produk tersebut akan terus mendapat sambutan dan perhatian umum di pasaran tempatan dan juga luar negara.


No comments:

Post a Comment